Semarak Cinta Nabi Muhammad SAW #11

Semarak Cinta
Nabi Muhammad SAW #11
**************************

Pernah satu ketika, Aisyah menemani Rasulullah SAW dalam satu musafir (ada riwayat yang menceritakan dalam peperangan). Menjadi kebiasaan Rasulullah SAW untuk membawa salah seorang isteri Baginda untuk menemani. Suatu malam, Aisyah menyedari dia kehilangan rantai yang dihadiahkan (ada riwayat yang mengatakan dipinjamkan) oleh kakaknya Asmaa’.

Maka, Aisyah pun mengadukan hal itu kepada Rasulullah SAW tanpa sebarang niat, sekadar untuk meluahkan rasa sedihnya atas kehilangan itu. Namun akhlak Rasulullah SAW yang sangat indah hingga menyebabkan Baginda mengarahkan sahabat-sahabat untuk mencari rantai itu.

Bayangkan bagaimana perasaan sahabat-sahabat ketika itu. Mereka sedang berada dalam keadaan tegang kerana hampir dengan tempat musuh. Ditambah dengan keadaan malam yang gelap dan semua orang sudah letih, diarahkan pula mencari rantai Aisyah yang bukannya diperbuat daripada intan permata jauh sekali berlian, hanya seutas tali yang ada sebutir manik hitam (dikatakan ia hanya ‘a string with a black beads’ oleh Shaykh Omar Suleiman).

Oleh kerana cinta pada Rasulullah SAW, sahabat-sahabat tetap menurutinya. Keaadaan menjadi semakin tegang apabila mereka semakin kehilangan sumber air. Para sahabat mulai risau jika situasi ini berterusan, mereka tentu tidak mempunyai air yang cukup berwudhu’ apa lagi untuk minum. Hal ini diadukan kepada Abu Bakar as-Siddiq.

Abu Bakar pergi kepada Rasulullah SAW dan ketika itu Baginda sedang tidur di ribaan Aisyah. Abu Bakar yang sanggup menggadaikan nyawa demi Rasulullah SAW sewaktu peristiwa Hijrah dulu sudah tentu tidak mahu membangunkan Baginda daripada tidurnya. Beliau dengan perlahan mendekati Aisyah dan mencubitnya (ada riwayat, mengatakan memegang) kakinya dengan kuat sambil berkata.

“Lihat apa yang telah kamu lakukan. Kamu telah menyusahkan kami semua.”

Abu Bakar memarahi anaknya itu kerana hanya disebabkan rantai Aisyah, semua orang menjadi susah. Aisyah yang sangat menghormati Rasulullah menahan kesakitan cubitan ayahnya kerana tidak mahu Rasulullah SAW terbangun daripada tidur.

Keesokan harinya, Allah menurunkan ayat ini:

“… dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayammumlah kamu dengan tanah yang baik (suci): usaplah mukamu dan tanganmu, sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” [Surah an-Nisa’: 43]

Disebabkan turunnya ayat ini, para sahabat menjadi gembira kerana mereka tidak perlu risau lagi tentang ketiadaan air.

Lihatlah akhlak mereka. Bukan kehabisan air untuk minum yang menjadi kerisauan mereka tetapi ketiadaan air untuk berwudhu’. Betapa dalam kecintaan mereka terhadap solat. Juga akhlak Baginda SAW terhadap isterinya yang sanggup mengarahkan semua sahabat-sahabatnya mencari rantai Aisyah yang hanya seutas tali tiada nilai dalam kegelapan malam ditempat yang bila-bila sahaja boleh diserang oleh musuh semata-mata kerana menghargai kerisauan Aisyah itu.

Sehingga Usaid bin Hudhair berkata kepada Aisyah,

“Semoga Allah melimpahkan pahala kebaikan bagimu. Demi Allah, apabila sesuatu hal terjadi padamu padahal engkau tidak menyukainya, Allah menjadikan hal itu mengandung kebaikan bagimu dan bagimu kaum muslimin.”

Alhamdulillah, rantai itu berjaya ditemui. Aisyah gembira dan para sahabat juga gembira kerana melalui kejadian itu, Allah memberikan wahyu tentang tayamum yang mana menekankan betapa pentingnya solat sehingga dalam keadaan apa sekalipun, tidak boleh ditinggalkan.


-googled picture

Comments

Popular posts from this blog

MrA's Graduation

Dupdapdupdap part 1