myMetro | Jaga tulang dari muda

myMetro | Jaga tulang dari muda

Peringatan utk diri sendiri juga....

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jaga tulang dari muda

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
pix_middle
KAJI selidik yang dijalankan oleh pembekal produk tenusu, Fonterra, mendapati 32 peratus rakyat Malaysia tidak mengambil makanan berkalsium tinggi setiap hari. Lebih dua pertiga pula tidak melakukan senaman secukupnya, lantas mendedahkan mereka kepada risiko osteoporosis dan penyakit lain berkaitan tulang.
Lebih mengejutkan, satu perempat daripada mereka tidak tahu di mana dan bagaimana untuk mendapatkan vitamin D iaitu nutrien penting bagi mendapatkan tulang yang sihat dan kuat.
   
  • FotoBERKHASIAT...pilih makanan yang banyak sumber kalsium untuk menguatkan tulang.
Osteoporosis yang bermaksud tulang poros, ialah masalah jisim tulang makin berkurangan, lemah, rapuh serta mudah patah dan dalam jangka panjang, postur tubuh penghidapnya membongkok dan menjadi lebih rendah.

Ia boleh menyerang semua kumpulan umur tetapi lebih banyak dihidapi mereka yang berumur 50 tahun ke atas sama ada lelaki atau wanita. Hampir 75 peratus kejadian patah tulang di bahagian pinggul, belakang dan pergelangan tangan berlaku di kalangan mereka yang berumur melebihi 65 tahun.


Namun, wanita lebih mudah mendapat osteoporosis kerana mereka kehilangan kepadatan tulang pada kadar lebih pantas apabila paras hormon estrogen semakin menurun selepas menopaus.

Kajian mendapati seorang daripada dua wanita dan seorang daripada lima lelaki yang melebihi umur 50 tahun akan menderita patah tulang akibat osteoporosis dalam tahun selebihnya dalam kehidupan mereka.

Secara global, patah tulang disebabkan osteoporosis dianggarkan berlaku setiap tiga saat. Namun insiden berkenaan berbeza antara negara dan kumpulan masyarakat.

Masalah osteoporosis selalunya tidak disedari selama bertahun-tahun oleh penghidapnya kerana tidak ada simptom atau kesakitan, sehinggalah kejadian patah tulang berlaku.

Tulang pesakit osteoporosis mudah patah walaupun berlaku pelanggaran kecil atau ketika membongkok dalam aktiviti harian. Mana-mana bahagian tulang boleh patah atau retak tetapi bahagian paling mudah tercedera ialah pergelangan tangan, belakang dan pinggul.

Apabila patah tulang, pesakit akan mengalami rasa perit yang keterlaluan, ketidakupayaan dan kualiti hidup yang merosot. Patah pinggul juga selalunya akan menyebabkan pesakit terpaksa dimasukkan ke wad, menjalani pembedahan besar atau berhadapan dengan risiko kematian.

Berita baiknya, osteoporosis ialah antara penyakit yang boleh dirawat dan dihindari melalui gabungan amalan gaya hidup sihat seperti bersenam dan pengambilan kalsium dan vitamin D secukupnya.

Pakar ortopedik dan trauma, Dr Chin Chee Howe, berkata jisim tulang mencapai kemuncaknya pada usia 30 tahun dan sebaik mencecah umur berkenaan, tanpa senaman dan nutrisi yang mencukupi, tulang akan menjadi rapuh, seterusnya menyebabkan osteoporosis.

Beliau berkata, semua individu perlu mengambil langkah untuk menjaga kesihatan tulang mereka sejak muda misalnya dengan berhenti merokok serta mengambil diet kaya dengan kalsium, protein, vitamin D selain mengekalkan berat badan ideal dan melakukan senaman mengangkat berat.

“Osteoporosis ialah penyakit senyap yang menjejaskan kualiti tulang dan kepadatannya. Apabila anda berasa sakit belakang, ia mungkin disebabkan oleh osteoporosis.

“Kira-kira 75 peratus rakyat Malaysia di negara ini tidak bersenam. Oleh itu, mereka perlu melakukan beberapa perubahan dalam gaya hidup supaya tidak berada dalam peratusan penghidap osteoporosis,” katanya pada pelancaran Persidangan Osteoporosis Asia Pasifik Yayasan Osteoporosis Antarabangsa (IOF), baru-baru ini.

Risiko yang mendedahkan seseorang kepada osteoporosis ialah genetik, jantina wanita, pertambahan umur, sejarah patah tulang, kurang berat badan, merokok, pemakanan tidak seimbang, tidak bersenam dan pengambilan steroid dalam jangka panjang.

Selain susu, sumber lain yang boleh membekalkan kalsium dan vitamin D kepada tulang ialah cahaya matahari, sayur-sayuran hijau seperti brokoli, bayam, sawi dan kailan, ikan sardin dan ikan tongkol, keju, yogurt serta telur.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan senaman berterusan dalam tempoh 30 hingga 40 minit sebanyak lima kali seminggu, seperti tai chi, yoga,
berlari, berjalan kaki, mengangkat berat dan bermain tenis.

Sementara itu, Pensyarah Endokrinologi dan Metabolisma, Institut Sains Perubatan New Delhi, Dr Nikhil Tandon, berkata osteoporosis kini dikelaskan sebagai masalah kesihatan yang serius di empat negara.

Beliau berkata, osteoporosis kini menjadi masalah yang besar kerana setiap tahun kejadian patah tulang merekodkan 1.5 juta kes, melebihi serangan penyakit jantung, strok dan barah payudara.

“Dijangka masalah patah tulang akibat osteoporosis akan meningkat kepada 50 peratus di Asia menjelang 2050. Apabila terdedah kepada masalah tulang rapuh, ia boleh menyumbang kepada risiko kematian sebanyak 20 peratus, hilang upaya kekal (30 peratus) dan hilang keupayaan bekerja (80 peratus),” katanya.

Risiko itu juga boleh berpunca daripada pengambilan kafein yang tinggi seperti pengambilan tiga cawan kopi sehari, kurang kalsium dan vitamin D, pengambilan melebihi tujuh auns alkohol dalam seminggu, mengambil dadah, tembakau dan kurang bersenam.

Masalah osteoporosis berlaku di seluruh dunia dan berbeza di setiap negara misalnya di negara empat musim, kira-kira 45 peratus kanak-kanaknya boleh terdedah kepada masalah berkenaan ketika musim sejuk kerana kekurangan pendedahan terhadap cahaya matahari.

Di India pula, kira-kira 85 peratus wanita mengandung terdedah kepada osteoporosis kerana kekurangan zat vitamin D dalam tubuh mereka manakala di Mongolia, kira-kira 10 peratus kanak-kanak kecil mengalami masalah riket kerana kurang kalsium.

Di Kuala Lumpur, lebih 60 peratus penduduknya didapati kurang mengambil kalsium dan masalah osteoporosis turut berlaku di Timur Tengah seperti di Tehran, lebih 80 peratus orang dewasa yang sihat didapati kurang vitamin D.

Namun di Jepun, masalah itu tidak terlalu meruncing dan hanya tiga peratus mengalami masalah kurang kalsium dan vitamin D, kemungkinan besar kerana diet penduduknya menjadikan ikan sebagai makanan utama.

Dalam semua keadaan, golongan warga emas, kanak-kanak kecil, wanita dan bayi baru lahir terdedah kepada masalah kekurangan kalsium dan vitamin D.

Menurut Dr Tandon, masalah osteoporosis dijangka meningkat di Asia memandangkan penduduk di rantau ini kebanyakannya cuma mengambil 46 miligram kalsium sehari berbanding di negara Barat yang purata pengambilan kalsium ialah 1,000 miligram sehingga 1,300 miligram sehari.

Katanya, antara sebab lain berlakunya pertambahan kejadian patah tulang pula adalah populasi yang semakin ramai orang berusia, keadaan sosio ekonomi, kekurangan vitamin D yang meluas dan pengambilan kalsium yang terlalu rendah.

“Osteoporosis susah dikesan antara lain kerana kurang minat untuk membuat pemeriksaan walaupun selepas patah tulang berlaku serta tidak mendapat kemudahan untuk membuat pemeriksaan kepadatan tulang menggunakan teknologi mesin DXA,” katanya.

Sementara itu, pensyarah radiologi, Chan Lai Kuan, 55, yang juga seorang penghidap osteoporosis, berkata ibunya juga menderita masalah osteoporosis dan pernah patah tulang pinggul sebanyak dua kali selepas terjatuh dan kini hanya duduk di kerusi roda.

Pada 2003, Chan sendiri didapati mengalami masalah sama selepas melakukan pemeriksaan kepadatan tulang namun doktor tidak melakukan rawatan. Dia hanya dinasihatkan mengambil kalsium dan vitamin D kerana umurnya yang masih muda ketika itu.

Namun selepas membuat pemeriksaan sekali lagi pada 2010, keadaannya bertambah teruk dan terpaksa menjalani rawatan serta mengambil ubat untuk melambatkan proses kehilangan jisim tulang dan perlu sentiasa berhati-hati bagi mengelak tulangnya patah.

“Saya tidak mahu mengalami nasib yang sama seperti ibu. Jadi sekarang saya sangat berhati-hati supaya tidak jatuh dan mengalami patah tulang, selain melakukan senaman angkat berat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kesimpulannya, 
1- kalsium kena diambil sekali dgn vitamin D, zink dan magnesium utk membolehkan kalsium diserap ke dalam tulang
2- pengambilan kafein (kopi/tea) dan rokok yang berlebihan boleh menganggu kadar penyerapan kalsium
3- kena bersenam :) 

Comments

Popular posts from this blog

MrA's Graduation

Dupdapdupdap part 1